PEMUDA

Sesungguhnya sesuatu fikrah tu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang mempunyai keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan.

Aktifkan diri anda!!

Aktifkan diri anda dengan menyertai kami!! MEneraju Arus Mahasiswa

PEMBINA UKM mengucapkan Salam Maal Hijrah. Perubahan bermula dengan diri kita. Ayuh berubah! Jangan bertangguh lagi!

My Gathering kini tiba! Eksklusif untuk muslimah sahaja. Ya, kem yang penuh dengan aktiviti menyeronokkan, hanya kita-kita sahaja! Daftar segera sebelum 11 December 2012!

JOM SERTAI KAMI!

Meneraju arus mahasiswa.

Imam Hasan Al-Banna

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.

JOM! USRAH

Usrah memainkan peranan penting untuk membentuk satu individu mengikut acuan islam sebenar. Selain itu, potensi dapat dibangunkan melalui usrah. Ingin sertai usrah? Hubungi Amirul (0136706079).

Tuesday, 2 December 2014

Gerabak Dakwah


Lelah bukan alasan 
Melepaskan beban
Dari bahu yang memikul

Jalan ditempuhi
Bukan pendek
Memerlukan semangat dan kefahaman
Tarbiyah menjadi pasak
Untuk terus teguh berdiri

Kau tidak seorang diri
Dalam liku dakwah ini
Kita bersama
Dalam satu gerabak
Gerabak Dakwah

Dakwah dan tarbiyah itu diibaratkan seperti isi dan kuku. Mana mungkin dapat dipisahkan. Tanpa tarbiyah, tidak lahir dakwah. Dakwah itu sesuatu yang berat, oleh itu, tarbiyah perlu ada untuk memupuk individu bersedia dari segi mental, jiwa dan fizikal bagi melepasi rintangan yang akan dilalui. 

Berbicara soal dakwah, perjuangan di jalan ini tidak mungkin berjaya sekiranya ditempuhi sendirian. Tarbiyah sahaja tidak mampu mengukuhkan kedudukan kita dalam perjuangan dakwah. 

Kenapa?

Sebab kita manusia biasa yang akan lemah dan boleh futur bila-bila masa. Oleh itu, pentingnya ukhuwah sebagai pengikat kekuatan yang akan saling menyokong andai seorang daripada kita rebah. Ukhuwah juga penting supaya setiap individu saling mengingatkan antara satu sama lain tentang keberadaan kita di jalan ini. Hal ini secara tidak langsung akan membantu kita memperbaharui niat dalam setiap tindakan.

Dari ukhuwah, lahirlah 'gerabak dakwah'. Dari satu unit-unit kecil lahir satu gerabak yang akan memandu kenderaan ini menuju destinasinya. Individu yang berada dalam gerabak ini umpama komponen-komponen penting dalam pembinaan kenderaan. Ada piston, cable, spark plug dan banyak lagi. Masing-masing mempunyai peranan yang istimewa. Tiada yang tidak berfungsi. Tarbiyah umpama pelincir yang akan melancarkan pergerakan pam minyak dan seterusnya mengagihkan tenaganya ke komponen-komponen enjin yang lain. Apabila semua komponen ini bersatu, maka cekaplah pemanduan kenderaan ini. Sekiranya rosak, cacatlah fungsinya. 


Begitu juga kita sebagai individu yang menggerakkan dakwah. Kita semua adalah penting. Tidak kiralah sumbangan kita kecil atau besar. Jika salah seorang daripada kita hilang, maka terbantutlah perjalanan ini. Dalam 'gerabak' ini kita perlu sentiasa pandang ke hadapan dan bersedia akan halangan yang bakal kita tempuhi. Matlamat perjalanan perlu jelas dan perancangan perlu rapi dan terkehadapan. Perlu lebih hebat daripada perancangan musuh.

Ayuhlah sama-sama kita menggerakkan gerabak ini agar lebih lancar dan lebih ramai lagi yang akan menyertai perjalanan ini. 


Mengharungi samudera kehidupan
Kita ibarat para pengembara
Hidup ini adalah perjuangan
Tiada masa untuk berpangku tangan

Setiap titis peluh dan darah
Tak akan sirna ditelan masa
Segores luka di jalan Allah
Kan menjadi saksi pengorbanan

Allah adalah tujuan kami
Rasulullah teladan kami
Al-Quran pedoman hidup kami
Jihad adalah jalan juang kami
Mati di jalan Allah adalah
Cita-cita kami tertinggi
-shoutul harakah, bingkai kehidupan-



Maisarah Shahrain
Media PEMBINA UKM




Friday, 21 November 2014

Hero Sebenar

Assalamualaikum sahabat

Pada kali ini penulis nak berkongsi tentang seorang tokoh, huh. Ingat senang nak baca sejarah, tetapi jangan lupa! Demi kelangsungan dakwah dan tarbiah, sangat penting untuk kita membaca sejarah ini.

Bagaimana kita nak cipta sejarah baru kalau sejarah pun tak tau,dush. Macam terasa pulak.

Tokoh yang dikenali dengan al-Syahid Syeikh Ahmad Yasin.

Jika dahulu aku dengar namanya dengan semangat yang diceritakan kepadaku. Tetapi kini, aku membaca kisahnya sehingga aku menitiskan air mata. Allahu.

Sosok tubuh yang daku lihat dalam gambar-gambar atau pun video, beliau seorang yang lumpuh tetapi dalam masa yang sama beliau juga merupakan pengasas Hamas di Palestin.

Diriku tertanya-tanya sejak dulu, siapakah beliau ini sebenarnya? Walau dengan berkerusi roda tetapi mampu mengegarkan jiwa pemuda.

Pada awal tahun 50 an, bumi Palestin semakin parah. Ketika itu, para pemuda bangkit bersemangat untuk menebus kembali tanah air mereka di bawah satu gerakan Islam. Syeikh Ahmad Yasin adalah salah seorang daripada hasil tarbiah gerakan ini.

Anak-anak muda Palestin waktu itu bukan hanya sekadar belajar ilmu agama, malah aktiviti fizikal turut mereka jalankan untuk memantapkan kesihatan tubuh badan mereka lebih-lebih lagi untuk menghadapi serangan tentera Zionis.

Sewaktu melakukan aktiviti inilah anak muda Ahmad Yasin terjatuh. Dalam bahasa mudahnya, kepala jatuh dulu sebelum badan.

Apa yang buat diri ini terharu sahabat, penyebab beliau cedera adalah kerana sahabat beliau yang melakukan aktiviti itu bersama-sama beliau. Tetapi untuk menjaga hubungan antara keluarga beliau dan keluarga sahabat beliau, beliau merahsiakan penyebab itu.

Sahabat-sahabat syeikh ketika itu merasakan ia hanya kecederaan kecil, tetapi Allah Maha Kuasa. Kecederaan itu menyebabkan kerosakan tulang leher, tulang belakang dan menyebabkan lumpuh seluruh badan. Tangannya kaku tidak boleh memegang sesuatu pun kecuali dalam keadaan yang sangat sukar.

Allahu. Namun, apa yang membuatkan aku kagum sahabat sekalian. Syeikh cuba untuk berdiri walaupun itu adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Apabila beliau cuba untuk berdiri pasti jatuh. Begitulah seterusnya.

Dan kecacatan itu tidak melenturkan semangatnya untuk sambung belajar, solat jemaah di masjid, dan walaupun beliau sering jatuh untuk berjalan, namun beliau bangkit untuk terus melangkah.

Syeikh Ahmad Yasin akhirnya berjaya dengan cemerlang. Beliau ingin mencuba bidang mengajar sebagai suatu kerjaya.

Salah seorang sahabatnya pernah menyatakan bahawa agak sukar orang yang lumpuh seperti Syeikh untuk mendapat pekerjaan ini.

Mendengar hal itu Ahmad Yasin hanya tersenyum sambil berdiri di atas jari-jari kakinya. ”Wahai saudaraku, apakah kamu mengira saya pergi ke panitia untuk mendapatkan belas kasihan? Tidak, demi Allah. Saya adalah seorang muslim yang percaya kepada kuasa Allah, jika memang Allah menghendaki saya diterima maka tiada seorang manusiapun mampu menhalang rezeki saya. Tidakkah kamu membaca firman Allah swt,

Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezkimu dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu. Maka demi Rabb langit dan bumi, sesungguhnya yang dijanjikan itu adalah benar-benar (akan terjadi) seperti perkataan yang kamu ucapkan. (QS. 51:22-23)

Akhirnya, dengan kuasa Allah. Syeikh Ahmad Yasin berjaya memperoleh tugas sebagai pengajar tersebut.

Dalam sebuah artikel Dr. Abdul Aziz Rantisi yang merupakan tokoh yang menggantikan Syaikh Yasin memimpin Hamas sepeninggalan beliau yang kemudian menjadi target pembunuhan Israel menggambarkan tentang peribadi pengasas dan tokoh spirit Hamas ini dengan menyebut sebagai sosok tubuh yang sebaris dengan umat atau umat yang terdapat pada satu sosok tubuhnya.

Rantisi menulis, Syaikh Ahmad Yasin adalah seorang tokoh pemimpin yang istimewa. Dialah sosok yang ketika mendapat bencana dan ujian, terus memnguatkan tekad dan keteguhannya dalam meneruskan jalan meskipun sukar. Beliau terus menapakkan kaki dengan berkorban, memberi, bahkan mewujudkan berbagai target yang pada gilirannya melahirkan gerakan perjuangan Islam. Sebuah artikel sangat tidak cukup untuk melukiskan bahkan untuk menyelami kedalaman lautan sosok tubuh ini (Syaikh Yasin), apalagi sampai ke dasarnya. Karena itu, sebuah artikel, sebuah buku, bahkan sepuluh jilid atau sebanyak manapun jumlahnya, ia sukar memuatkan seluruh sifatnya. Sejarah akan berhenti lama untuk mendokumentasikan pemimpin bangsa Palestin ini. Namun demikian ada beberapa bahagian dari kehidupan dan sifat beliau yang perlu diungkap sekarang agar dapat dicontohi dan dibumikan pada diri dan jiwa generasi masa depan umat Islam. Pemimpin yang satu ini memiliki keazaman yang tidak pernah ragu, keinginan yang tak pernah luntur, keberanian yang tak pernah surut, serta kekuatan yang tak pernah lemah.

Sungguh tidak terungkap sifat-sifat pada beliau.

foto: Syeikh Ahmad Yasin


Syeikh Yasin bangkit dengan menubuhkan gerakan Hamas untuk mempertahankan Palestin.
Beberapa kali juga beliau dipenjarakan pihak Zionis tetapi setiap kali itulah dengan izin Allah beliau dibebaskan.

Beliau juga merupakan pengasas sayap Gerakan HAMAS yang diberi nama Briged Izzudin al-Qassam.
Allahu, walaupun lumpuh tetapi idea dan akalnya sihat serta boleh berfikir dengan baik. Malah berfikir untuk membangun semula tanah airnya Palestin.

Ha, selama ini slogan yang kita laung2kan ‘We Are All al-Qassam’ itu untuk sokong perjuangan al-Qassam dan semangat untuk jadi seperti mereka.


Antara syarat2 nak masuk Briged Al-Qassam ni kena hafal 30 Juzuk al-Quran, hafal beribu-ribu hadis dan solat jemaah di masjid setiap waktu tau.

So, jangan semangat je laung-laungkan slogan tu. Tapi kita kena ada semangat untuk mencontohi mereka ye!

Al-Qassam yang dahulunya berperang menggunakan batu dan pisau sahaja kini mampu mencipta sendiri bom yang boleh mencapai sehingga beratus kilo meter ke Negara Haram Israel!

Pada 22 Mac 2004, selepas keluar dari masjid setelah menunaikan solat subuh, Syaikh Yasin ditembak. Syeikh Yasin gugur syahid bersama beberapa orang lain. Itulah pengakhiran kehidupan yang memang beliau inginkan dan telah menjadi kehendak Allah. Syeikh Yasin gugur syahid setelah menyempurnakan ‘bangunan’ pertempuran al-Qassam dan merasa tenang kerana ‘bangunan’ tersebut sangat indah, kuat, dan kukuh.

bayangkan tubuhnya yang hancur jika begini keadaan kerusi rodanya selepas ditembak. Allahu

Beliau memang telah pergi meninggalkan kita namun, beliau tidak akan lenyap dari jiwa rakyat Palestin dan umat Islam seluruhnya.

Inilah hero sebenar, inilah idola kita.

Walaupun hanya memiliki kerusi roda, kepala dan hati semata-mata, namun fikiran dan ideanya menggentarkan Israel keseluruhannya. Kalau tidak mengapa beliau diburu sehingga dibunuh dengan helikopter Apache buatan Amerika?! Ini bukti mereka takut dan bacul pada umat Islam yang sebenar.

PENGAJARAN/ IBRAH:
*Palestin diserang dari sudut fizikal kerana mereka tidak terpengaruh dengan serangan pemikiran Barat dan Zionis.
*Kita masih lena, kerana tidak diserang dari sudut fizikal. Ini kerana, kita masih diserang dari sudut pemikiran. Fikir-fikirkanlah.
*Kalau kita ingin Islam tertegak atas muka bumi ini, maka tegakkan Islam dalam diri kita.
*Dan mana mungkin Islam tertegak dalam keadaan kita bermalas-malasan!
PENYELESAIANNYA:
*Tarbiah dan Dakwah. Titik!


Nur Farah Ain Bt. Ismail
Biro Tarbiyah
PEMBINA UKM

Monday, 17 November 2014

Belia Dekati Gelandangan dalam Projek Nasi Bungkus


Pelajar UKM mendengar perkongsian cerita daripada gelandangan 

BANGI, 17 Nov – ‘Projek Nasi Bungkus’ anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah diadakan pada 15 November 2014 dan disertai oleh pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bertujuan mendekati dan membantu gelandangan di sekitar Jalan Masjid India dan pusat membeli-belah Sogo.

Nasi bungkus, barang keperluan asas dan wang tunai RM10 adalah antara sumbangan yang diberikan kepada gelandangan di kawasan sasaran.

“Saya amat tersentuh melihat keadaan sebahagian warga tua dibiarkan menjadi gelandangan.

Sebagai anak, saya sedih mendengar luahan mereka yang diabaikan oleh anak-anak sendiri,” kata Syuhada salah seorang peserta yang ditemu ramah oleh wartawan Pembina.

Peserta program, Ezwan Syah, sempat mendekati seorang pemuda yang menjadi gelandangan akibat putus cinta dan mendapati tindakannya adalah tidak relevan.  

Turut serta dalam projek ialah beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Yayasan Ikhlas. Menurut wakil yayasan ikhlas, Syafiq Syahmi,

“Sebagai sebuah badan kebajikan, kami rasa bertanggungjawab untuk mengurangkan beban mereka dengan memberi bantuan sebegini.

Di samping itu, kami ingin belia terkehadapan dalam isu kemasyarakatan ini supaya mereka dapat melihat realiti kehidupan dan suatu hari nanti mereka pula yang akan membela golongan yang tidak bernasib baik ini.”

Harapannya agar PEMBINA akan terus menjalankan program sebegini pada masa-masa akan datang dengan kerjasama Yayasan Ikhlas.


Maisarah Shahrain
Wartawan PEMBINA UKM

  

Wednesday, 29 October 2014

Usrah Campur? Err..


Usrah campur.


Apa tu? Macam first time dengar je! 

Seronok ke?”

Err...

Usrah silang jantina dengan usrah sesama jantina mana lagi syok?
 
Pasti kita akan cakap usrah silang jantina kan?
 
Sebab apa ya?

Okay, sindrom sebegini mungkin akan berlaku sekiranya kome buat usrah campur:

Sindrom 1
Paling menyayat hati bila berlaku sindrom tersengih-sengih antara ikhwah dan akhwat apabila usrah dimulakan. Lagi-lagi, kome duduk bersama dalam satu ‘bulatan chenta’ untuk mengeratkan lagi bonding sesama kome tu. Alahaiiii, syaitan ketawa lompat-lompat sambil pegang panah chenta je tengok drama kome tu.
Lagiiiii menyayat hati apabila kome jadi friends kat FB. ‘Berukhwah’ lah katakan. Keadaan akan jadi lagi parah bila kes like ‘menge’like…komen ‘meng’komen..antara ikhwah akhwat sehingga dalam hati ada DOWNY
…aaalaaahaiiii...(tepuk dahi)

Sindrom 2
Habis je usrah mesti ada dialog ni :

Jenab  : Weyh, bagus gila akhi tu! Bila dia bagi tazkirah tadi semangat rasa.
Jemah : Ha’ah. *angguk-angguk mengiakan*
Jenab  : Sedap mata memandang jugak dia tuh.
Jemah : Betul betul! *angguk lagi*
Jenab : Haish, pandang dia mula aku rasa mood lagu kasih kekasih inteam pulak!
Jemah : ‘Tak perlu aku ragui, sucinya chenta yang kau beri..kita saling kasih mengasihi, setulus
                hati….’

Aaaduyaiiii (tepuk dahi lagi)

Kemon (baca: come on) la kome oii ! Syaitan ni SANGAT licik. Syaitan bisikkan keseronokan dalam hati kome yang suka usrah campur ni segala macam keindahan. Almaklumlah syaitan ini terlebih bijak menjerat hati manusia. So, hati-hatilah kome oii. Tak semua perkara indah itu baik.

Nampak macam tak ada masalah ikhtilat, padahal ada masalah besar! Memang seronok usrah campur ikhwah akhwat, boboys and gergurls. Tapi, kome tahu tak ada makhluk yang berganda-ganda seronoknya dari kita!

Errr, siapa?!
 
Syaitonirrojim! T__T

Kome nak tahu apa KESANnya bila usrah campur lelaki perempuan, muslimin muslimah?

Kesannya, kome akan ada MASALAH HATI yang sangat dahsyat! Boleh jadi masalah itu memesongkan niat asal kome.

BERHATI-HATILAH. Berurusanlah bila perlu sahaja. Memanglah bila usrah campur lelaki dan perempuan kita rasa ok sebab masing-masing ‘menjagalah’ katakan. Masing-masing berfikrah.
Dah tu kome ni sedar tak yang syaitan ni tak kira kita ni berfikrah ke, tak berfikrah ke, yang dia tahu nak menghasut je.

So, berhati-hati sebab orang yang ada fikrah ini yang akan diuji lebih kuat bila tak menjaga.

Muhasabah keberadaan anda. 

Anda bersama tarbiyah ini kerana ikhwah/akhwat ke atau kerana Allah? 

Jika anda bersama tarbiyah kerana ikhwah/akhwat maka anda pasti tidak akan kekal lama atas jalan ini! 

Kerana apa? 

Kerana semangat anda hanya ikut-ikutan tetapi, jika anda bersama tarbiyah semata-mata kerana Allah, anda pasti akan kuat dan terus tsabat (kekal) walau diuji bahkan, Allah akan hantar pula ikhwah/akhwat untuk datang menguatkan semangat anda. 

ASASNYA, LILLAHI TA’ALA. Wallahua’lam

#BerkasihanDenganManusiaHanyaSementaraSedangBerkasihanDenga AllahItuYangKekalAbadi
#UsrahTakCampurpunTakApa

Siti Nur Amirah
Setiausaha PEMBINA UKM

Friday, 17 October 2014

Sajak "Si Pendosa"


SI PENDOSA

Aku duduk berseorangan
Memandang langit yang terang
Tenang rasa hati yang rawan
Mengenang kisah semalam yang hitam

Aku
Si pendosa yang alpa
Sering tersungkur di lorong noda
Tidak berpaut pada yang esa
Hanya memingkirkan tentang rasa

Hujan mula membasahi bumi
Aku masih di sini tidak berdiri
Duduk mengenang nasib diri
Yang aku sendiri tidak pasti

Aku
Masih si pendosa yang semalam
Puas memujuk untuk sujud
Namun kerasnya hati tidak mahu tunduk
Seolah aku kekal sebagai si pendosa

Air mata mula mengalir lesu
Mengharap rahmat dari yang satu
Kerana aku mulai sedar
Umurku sudah di penghujung waktu


HAK CIPTA TERPELIHARA
NUR SABIHAH BINTI NAWI
(30 SEPTEMBER 2014)

JEMAAH: Pilihan di Tangan Anda


Jika kita mengikuti perkembangan dakwah di Malaysia, kita dapat lihat terdapat bermacam-macam jemaah atau persatuan islamiah yang diwujudkan oleh individu atau kumpulan tertentu bagi membantu kaum muslimin untuk memperkukuhkan fahaman islamiah dalam diri mereka. Namun begitu,terdapat juga jemaah atau persatuan yang berselindung disebalik nama Islamik tetapi sebenarnya membawa ideologi songsang yang boleh menyesatkan umat islam.

Sesebuah jemaah atau persatuan yang diwujudkan pasti mempunyai matlamat tersendiri yang ingin dicapai. Jika ditelusuri kembali sejarah silam, bermulanya penubuhan jemaah islamiyah terawal adalah datangnya dari semenanjung tanah arab iaitu bermula dari Mesir. Dimana jemaah pertama yang diwujudkan adalah jemaah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Imam Syahid Hassan Al-Banna. Tujuan utama beliau menubuhkan jemaah Ikhwan Muslimin  ini adalah untuk membantu masyarakat Islam di Tanah Arab pada ketika itu yang semakin jauh dari ajaran Islam yang sebenar walaupun mereka hidup di tanah yang lahirnya ramai para nabi dan para solihin. Disebabkan berlakunya penaklukan dari warga asing ke atas Tanah Arab  menyebabkan banyak fahaman atau ideologi luar yang dibawa masuk ke Semenanjung Tanah Arab lantas mencairkan nilai-nilai Islam dalam diri kaum muslimin pada ketika itu.

            Disebabkan semangat yang tinggi untuk membantu menegakkan kembali syiar Islam di bumi anbiya ini maka Imam AS-Syahid Hassan Al-Banna merasa bertanggungjawab untuk membantu menyedarkan kembali masyarakat sekitar Semenanjung Tanah Arab supaya kembali mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Lantas,beliau menubuhkan sebuah harakah (gerakan) islamiyah bagi mempersatukan kembali umat Islam pada ketika itu. Walaupun telah sedekad lalu harakah ini ditubuhkan namun ia masih bertahan hingga ke hari ini malahan ahli jemaahnya juga semakin bertambah dan telah mampu bertebaran di serata Tanah Arab.

Daripada sejarah penubuhan harakah islamiyah yang terkenal sehingga ke hari ini, terdapat banyak pengajaran yang dapat kita pelajari daripada kisah tersebut. Antaranya ialah kefahaman yang benar-benar mantap dari peringkat pimpinan hinggalah ke anak buah memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu mengemudi jemaah yang dibawa. Ahli jemaah harus faham mengapa mereka perlu berada dalam sesuatu jemaah, bukan hanya mengikut somborono sesuatu jemaah itu. Mereka juga harus faham matlamat sebenar yang ingin dibawa oleh jemaah tersebut.

Selain itu, nilai tarbiyah atau didikan yang hebat dari pimpinan membantu menghasilkan  anak-anak buah yang sama-sama hebat serta memahami kepentingan dan tugas yang perlu mereka lakukan bagi membantu mengislahkan masyarakat. Sekiranya didalam sesuatu jemaah itu mengajarkan anak buahnya perkara yang tidak elok maka akan terhasilnya individu-individu yang turut mempunyai akhlak yang tidak elok. Perkara sebegini adalah sangat perlu dielakkan terutamanya memburukkan jemaah lain. Sekiranya jemaah tersebut merasakan jemaahnya hebat ia tidak perlu memburukkan jemaah lain kerana perbuatan tersebut mencerminkan bahawa didikan yang diberikan kepada ahlinya adalah satu didikan yang tidak elok,dimana ia sanggup memburukkan saudara seislamnya sendiri bagi menutup kesalahan yang dilakukan. Jelas disini bahawa jemaah seperti ini lah yang tidak perlu diikuti kerana mereka tidak mahu bersama-sama membantu individu yang ingin menegakkan syiar Islam malahan ingin menjatuhkan individu atau jemaah itu pula.

Disebabkan terdapat pelbagai jemaah islamiyah di Malaysia yang masing-masing membawa agenda tersendiri membuatkan ada hati-hati suci yang tidak mahu tersilap langkah dalam mendapat pentarbiyahan yang sebenar. Lantas menjadikan hati-hati ini keliru memilih jemaah yang mana satukah yang harus diikuti. Perlu difahami bahawa Allah swt tidak melihat kepada jemaah apa yang kita ikuti tetapi Allah melihat apakah yang telah kita lakukan untuk membantu umat sewaktu berada dalam jemaah A atau B. Sekiranya kita masuk ke dalam jemaah yang paling hebat sekalipun tetapi kita tidak mampu untuk menyumbang walau sedikit sewaktu berada dalam jemaah tersebut maka tiada nilai sedikit pun jemaah yang hebat itu pada pandangan Allah.

            Tidak kisah jemaah apapun yang ingin dimasuki tetapi yang paling penting adalah jemaah tersebut betul-betul dapat membawa kita kepada Allah dan Rasul. Jemaah yang benar-benar membawa kita kepada Allah dan Rasul adalah jemaah yang mempunyai pegangang akidah yang benar iaitu berpegang dengan akidah ahli sunnah wal jamaah kerana sekiranya jemaah yang diikuti tidak mengikuti akidah yang benar dan terpengaruh dengan ideologi-ideologi liberalism, sekularisme dan lain-lain lagi maka tiada nilai jemaah yang hebat itu. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Orang Yahudi terpecah menjadi 71 golongan dan orang Nasrani terpecah menjadi 72 golongan, adapun umatku akan terpecah menjadi 73 golongan." (HR Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasai’ dan Ibnu Majah). Dalam riwayat lain ditambahkan: “... kesemuanya berada dalam neraka kecuali golongan yang tetap berpegang teguh pada ajaranku dan ajaran para sahabatku.”  Jelaslah daripada hadis ini bahawa,akidah yang benar sangat penting kerana sekiranya jemaah yang diikuti membuatkan seseorang itu terpesong dari akidah yang sebenar maka sia-sia sahaja pengorbanan yang dia lakukan sewaktu berada dalam jemaah tersebut.
Wallahu a’lam.


Nor Syamimi Che Johari

Ketua Beliawanis Pembina UKM 

Thursday, 16 October 2014

Sembang Sentap : Cinta Islamik, wujudkah Ia?



BANGI, 13 Okt – Usrah umum yang membawa tajuk “Sembang Sentap : Cinta Islamik, wujudkah Ia?” telah menarik minat mahasiswa mahasiswi untuk mendengar ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Adnin Roslan, Pengasas Laman Tarbiyyah Sentap di laman sosial Facebook yang terkenal dengan ayat-ayat tarbiyyah yang dapat menyentap akar hati.

Antara isi kandungan usrah umum yang diadakan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan adalah mengenai ikhtilat iaitu pencampuran antara lelaki dan perempuan. Menurut Ustaz Adnin Roslan, beliau menyatakan hukum asal ikhtilat adalah haram tetapi menjadi harus dalam beberapa perkara. Penting untuk  memahami hukum asal sesuatu perkara, kerana ia akan menentukan tindak tanduk yang akan dilakukan.

Memetik kata-kata beliau, “Ukhuwah yang sebenar ialah ukhuwah yang dapat mendorong kebangkitan agama Islam. Walaupun ada ukhuwah antara lelaki dan perempuan,  ukhuwah itu tidak mendapat redha dari Allah SWT.”

Manakala berkenaan dengan gejala memuatnaik gambar selfie yang sedang menular di laman-laman sosial, beliau mengulas, "Kenapa perempuan suka dan selalu memuatnaik gambar Facebook atau dimana-mana rangkaian sosial?” "Sebab lelaki suka like gambar perempuan!" Itu adalah antara ayat sentapan yang menggegarkan seluruh dewan yang dipenuhi dengan hadirin seramai 170 orang. Hakikatnya perkara ini adalah benar dan sebagai perempuan seharusnya bijak menjaga maruah diri masing-masing.

Usrah umum kali ini mendapat sambutan hangat dek kerana isu yang dibawa telah menarik para mahasiswa.  “Cinta Islamik, wujudkah ia?” Tepuk dada tanya Iman. Usrah umum ini adalah satu daripada program yang ditawarkan dalam pakej Tarbiyah oleh PEMBINA UKM.

 Nur Arina Mohd Azmi
Wartawan PEMBINA UKM.

Sunday, 28 September 2014

Kehidupan Ibarat Pendakian Menuju Puncak Bukit



SEMENYIH, 27 Sept – “Hidup di universiti dan destinasi ke akhirat ibarat mendaki ke puncak di mana jalan untuk berjaya berliku-liku, ada jatuh naiknya akan tetapi perjalanan harus diteruskan dan kita tetap perlu mendaki.” Demikian tiupan semangat oleh saudari Nur Farah Ain Ismail, Ketua Biro Tarbiyah PEMBINA UKM terhadap peserta jejak broga yang majoritinya pelajar tahun satu.

Kata beliau lagi, “Kaitan kehidupan bergelar mahasiswa dengan pendakian ialah, kita ada kawan-kawan semasa mendaki, manakala dalam konteks pembelajaran, kita perlukan kawan untuk belajar bersama. Begitu jugalah dalam menuju kejayaan sebenar iaitu syurga: pentingnya mencari sahabat yang bersama-sama ketika susah dan senang.”

Memetik kata-kata Imam Hassan Al-Banna, “Sifat muslim itu tidak berputus asa” beliau menyeru peserta agar bangkit semula apabila jatuh dan istiqomah mencari jalan keluar kerana Allah lebih menilai usaha berbanding hasil. Beliau turut menekankan bahawa berjaya dalam pelajaran bukan hanya untuk sekeping ijazah tetapi untuk menuju redha Ilahi. Aspek kerjasama juga perlu untuk saling menguatkan antara satu sama lain.

Pendakian Bukit Broga yang bertemakan ‘Hiking for Strength, Bonding with Iman’ pada kali ini menyaksikan sedikit kelainan dengan membawa semangat tentera Al-Qassam untuk sampai ke puncak. Aktiviti ini merupakan satu daripada aktiviti yang ditawarkan di dalam pakej Rekreasi oleh PEMBINA UKM.


Maisarah Shahrain
Wartawan PEMBINA UKM

Meniup Semangat Al-Qassam Dalam Diri Mahasiswa


BANGI, 26 Sept – “Kehidupan ini sebenarnya diibaratkan seperti kehidupan di universiti, iaitu hendakkan sijil atau dalam bahasa arabnya ‘syahadah’. Maka, kita perlulah mengejar syahadah juga dalam kehidupan iaitu syahid di jalan Allah.” Begitulah ungkapan oleh aktivis ISMA saudari Nur Fatin Bt. Halil, mengambil kata-kata seorang tokoh wanita Palestin, Ummu Nidhal.

Pengisian yang bertajuk ‘We Are All Al-Qassam’ berjaya mencuri perhatian hadirin yang hadir kerana timbulnya persoalan-persoalan yang dibangkitkan berkenaan kaitannya dengan mahasiswa dan memandangkan isu ini masih segar dalam kalangan hadirin.

“Nilai-nilai sejarah bumi mulia Palestin dan kekuatan dalaman rakyat Palestin menjadikan rakyatnya berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah Gaza yang merupakan satu-satunya tempat yang masih gagal dijajah oleh Israel walaupun cubaan masuk berkali-kali telah dibuat.

“Al-Qassam yang lahir daripada HAMAS, iaitu sebuah harakah islamiah di sana merupakan bukan calang-calang orang. Mereka adalah insan yang terpilih, di mana mereka ini pada siangnya merupakan orang biasa seperti pelajar tetapi pada malamnya mereka punch card sebagai seorang tentera Islam, iaitu Al-Qassam,” Tambah beliau lagi.

Saudari Nur Fatin turut menceritakan bagaimana pengalaman beliau bertemu rakyat Gaza yang sememangnya mempunyai semangat yang kuat untuk terus belajar walaupun keadaan sekolah yang rosak akibat serangan rejim Zionis. Bagi mereka, tiada masalah untuk meneruskan kehidupan kerana sudah terbiasa dengan suasana peperangan tersebut.

“Rahsia kemenangan pejuang Al-Qassam dan rakyat Palestin adalah kerana sikap optimis, sentiasa berikan yang terbaik, yakin akan kemenangan Allah S.W.T, jihad menjadikan diri mulia, ikhlas dalam perjuangan serta kreatif dan inovatif.”

Akhir kata, beliau menyimpulkan bahawa semangat yang hadir itu datangnya dari kekuatan dalaman dan keteguhan jiwa, biarpun lemah dari luaran.


Program MABIT merupakan satu daripada pakej Tarbiyah yang ditawarkan oleh PEMBINA UKM. Program ini diadakan pada minggu keempat setiap bulan di Masjid UKM bagi menyuntik semangat kerohanian dalam diri mahasiswa.


Maisarah Shahrain
Wartawan PEMBINA UKM

Tuesday, 27 May 2014

Tazkiyatun Nafs - Menuju Cinta Allah


BANGI, 23 Mei – “Penyucian jiwa adalah penting kerana dengan jiwa yang bersih, dapat membentuk akhlak yang mulia.”

Demikian kata graduan Maahad Qiraat Mansoura, Pn. Nadwa Kasim di dalam slot pengisian sewaktu Malam Bina Iman dan Taqwa (MABIT) yang berlangsung di Masjid UKM. Menurut beliau, tazkiyah itu berasal daripada perkataan ‘zakat’ yang membawa maksud suci manakala, ‘nafs’ itu pula bermaksud jiwa. Dalam proses penyucian jiwa itu, memerlukan mujahadah yang tinggi untuk menghasilkan jiwa yang betul-betul bersih dan tenang.

“Cara mencapai tazkiyatun nafs lebih kepada praktikal seperti ibadah solat, puasa, zikir, bermuhasabah diri, ingat mati, membaca Al-Quran serta banyak lagi dan ibadat-ibadat ini mestilah dilakukan dengan sempurna.

Setelah itu, beliau menyampaikan mafhum di dalam surah Al-Anfal (8:2), iaitu tentang apabila membaca ayat-ayat Al-Quran, semakin bertambahlah iman seseorang.

“Dengan adanya kefahaman dalam ibadat yang dilakukan, barulah kita dapat menyucikan jiwa. Sebagai contoh, apabila solat, kita faham bahawa kita adalah hamba yang hina, maka solat itu akan menjadikan kita tidak sombong dan mudah patuh pada perintah Allah seterusnya, tiada masalah apabila kita hendak berurusan dengan manusia.”

Menurutnya lagi, Allah telahpun menceritakan tentang penyucian jiwa ini di dalam surah As-Syams di mana, Allah bersumpah sebanyak 11 kali di permulaan ayat, dan kemudiannya barulah Allah menjamin bahawa beruntunglah orang yang menyucikan jiwa ini pada ayat yang ke-9. Antara lain, beliau turut memasukkan konsep puasa dalam cara ingin memelihara syahwat.

“Terdapat tiga jenis puasa; puasa orang awam, puasa orang khusus dan puasa orang super khusus.

“Perbezaan antara ketiga-tiga ini adalah dari segi cara puasa mereka; jika orang awam, puasanya adalah dengan tidak makan dan minum dan menahan syahwat bermula dari subuh sampai maghrib, bagi orang khusus pula mereka turut melakukan benda yang sama tetapi mereka menjaga anggota badan daripada perkara yang dilarang, manakala orang super khusus turut melakukan perkara yang dibuat oleh orang awam dan khusus, tetapi mereka juga puasa hati.” Ulas beliau.

Setelah itu, beliau mengingatkan kepentingan tazkiyatun nafs iaitu, menjadi tanggungjawab manusia menyampaikan kebaikan dan cegah kemungkaran setelah kewafatan Rasulullah dan penyucian jiwa merupakan satu-satunya syarat untuk kita menjadi orang yang berjaya.

“Jiwa ini diibaratkan gelas yang penuh lumpur, apabila tuang air, gelas tersebut menjadi kotor; apabila jiwa kita kotor, masuklah benda baik sekalipun, tidak akan member manfaat kepada diri mahupun orang lain.”

Tambah beliau lagi, betapa pentingnya menjaga dan memperbaharui niat, agar jiwa bersih semula setelah pelbagai usaha bisikan syaitan untuk memesongkan hati.

Program MABIT ini dijalankan sebulan sekali dan merupakan satu daripada pakej Tarbiyah yang ditawarkan oleh PEMBINA.



Maisarah Shahrain
Wartawan PEMBINA UKM



Dua Pelajar Jepun Berminat Mendalami Islam Dan Mengikuti Ancaman Feminisme


BANGI, 21 Mei – Usrah Umum yang bertajuk “Feminisme” pada malam itu, turut menarik minat dua orang pelajar Jepun, Miss Rina dan Mr. Yuki untuk hadir untuk mendalami Islam dan mengikuti ancaman feminisme di Malaysia.

Usrah ini telah menarik perhatian mereka apabila terdapat banyak ayat Al-Quran dipaparkan di dalam pembentangan Prof. Madya Dr. Rafidah berkait dengan beberapa hukum penting. Antaranya termasuklah hukum bertudung, sehingga mereka berminat untuk mengetahui tentang hukum asal bertudung.

Prof. Madya Dr. Rafidah turut menjelaskan bahawa isu hijab adalah di antara hujah pro-feminis untuk mengelirukan ramai tentang kewajipannya. Sedangkan prinsip bertudung ada dijelaskan di dalam Surah An-Nur, ayat 31 di mana Allah memerintahkan supaya perempuan yang beriman menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala serta larangan memperlihat perhiasan tubuh mereka.

Dua orang pelajar Jepun yang hadir itu turut bertanya mengenai had aurat wanita dalam Islam, berikutan terdapat pelbagai gaya dan cara memakai tudung dan mereka juga keliru mengapa terdapat pelajar sekolah dan universiti yang tidak bertudung selepas tamat waktu persekolahan atau pengkuliahan. Mereka ingin mengetahui, adakah lebih ‘standard’ untuk tudung.

Berhubung pertanyaan tersebut, Dr. Rafidah menyatakan secara ringkas mengenai prinsip asas menutup aurat berpandukan Surah An-nur, ayat 30-31 dan Al-Ahzab, ayat 59 serta beberapa hadis sahih berkenaan aurat dan tudung.

“Daripada ‘Aishah r.a.: Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama, apabila turunnya ayat (yang bermaksud) “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…” serta-merta mereka mengoyakkan apa sahaja kain (yang ada di sekeliling mereka) lalu bertudung dengannya. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Ibn Jarir)

“Orang Arab dahulu hanya mengenakan tudung di kepala sahaja, manakala leher mereka dibiar terdedah, disebabkan itulah turun perintah Allah secara berperingkat-peringkat supaya wanita melabuhkan tudung mereka hingga menutupi dada bagi membezakan ciri-ciri wanita jahiliyyah dengan wanita Islam.”

Demikian penerangan beliau kepada kedua-dua pelajar tersebut. Tegas beliau, segala hukum yang diterangkan itu adalah berpandukan Al-Quran dan Hadis supaya masyarakat lebih jelas dengan arahan yang diperintahkan oleh Allah. Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap Miss Rina dan Mr. Yuki atas kesudian mereka hadir ke majlis perkongsian ilmu tersebut dan mendoakan agar Allah memberikan hidayah kepada mereka.


Maisarah Shahrain,
Wartawan PEMBINA UKM

poster promo ikhwah
picture hosting